Ana Muslimah


MASA ITU EMAS


Untukmu Adam

♥♥♥♥
Adam,
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.
Sesungguhnya aku adalah Hawa,
temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu.
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok.
Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku,
sentiasa inginkan bimbingan darimu,
sentiasa mau terpesong dari landasan,
kerana aku buruan syaitan.
♥♥♥♥
♥♥♥♥
Ya Allah..
Seandainya telah Engkau catatkan dia milikku,tercipta untukku..
Satukanlah hatinya dengan hatiku..
Titipkanlah kebahagiaan antara kami agar kemesraan itu abadi..

Dan Ya Allah, Ya Tuhanku..
Yang Maha Mengasihani..
Seiringkanlah kami melayari hidup ini ketepian yang sejahtera dan abadi..

Tetapi Ya Allah..
Seandainya telah Engkau takdirkan dia bukan untukku..
Bawalah dia jauh dari pandanganku.
Luputkan dia dari ingatanku..
Hilangkan dia dari pandanganku..
Dan peliharalah aku dari kekecewaan..

Serta Ya Allah..
Tuhanku Yang Maha Mengerti..
Berikanlah aku kekuatan..
Melontar bayangannya jauh ke dada langit, hilang bersama senja yang meraih..
Agar bisa aku bahagia..
Walaupun tanpa bersama dengannya..

Ya Allah..
Gantikanlah yang telah hilang..
Tumbuhkanlah yang telah patah..
Waulaupun tidak sama dengan dirinya,
aku memohon agar ia lebih baik darinya.

Ya Alah Ya Tuhanku..
Pasrahkanlah aku dengan takdirmu..
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan, adalah yang terbaik untukku..
Kerana Engkau Maha Mengetahui segala yang terbaik buat hamba-Mu ini..

Ya Allah..
Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku didunia dan diakhirat..
Dengarlah rintihan dari hamba-Mu yang daif ini..
Jaganlah Engkau biarkan aku sendiri didunia ini mahupun diakhirat kelak..
Janganlah Engkau menjuruskan aku kelembah kemaksiatan dan kemungkaran..
Maka,
Kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman dan bertaqwa kepada-Mu,
Supaya aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup kejalan yang Engkau redhai..
Dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh dan solehah..

Amin Ya Rabbal Alamin...

Followers

Asal Usul Nafsu

Tuesday, 17 April 2012

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
 بسم الله الرحمن الرحيم


Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hassan bin Ahmad Asy-Syaakit Alkhaubawiyi', seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah engkau."


Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik.


Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah aku?". 
Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."


Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."


Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."

Setelah itu Allah S.W.T menyeksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."


Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu'(kelaparan) selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."


Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa.

Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah. Jangan biarkan nafsu menjadi tuan kepada diri, kelak buruk padahnya.

Incik Panda yang koat

Ayuh kita sama-sama menunaikan puasa sunat pada setiap hari Isnin & Khamis, kerana Nabi S.A.W pernah bersabda : "Dibentangkan amalan-amalan dihadapan Allah pada hari Isnin & Khamis. Maka aku menyukai dibentangkan amalanku pada ketika aku berpuasa" (Riwayat Imam Tirmizi)..
-----------------> IKLAN <-----------------

Gambar Hiasan
IFTAR kembali lagi seperti biasa...
Jom kita berbuka dalam talam beramai-ramai.


 ♥ ♥ IFTAR ♥ ♥

Tempat : Masjid UMP PEKAN
Jam : 6.45 pm
Yuran : RM 3 sahaja
Menu : 1 talam nasi beserta dengan lauk dikongsi bersama ^_^

Untuk perdaftaran sila hubungi :
Raziman : 014 5247066
Ain sofia : 019 3737441

p/s :Mohon kerjasama anda untuk memberi nama seawal mungkin untuk memudahkan urusan tempahan makanan untuk berbuka..Terima Kasih ^_^


Itu Bukan Aku!

Monday, 16 April 2012

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
  بسم الله الرحمن الرحيم
عليكم السلام



Perempuan..
Aku adalah seorang perempuan.
Perempuan yang hidupnya sentiasa berhadapan dengan arus dunia moden. Dunia yang penuh dengan tipu daya dan muslihat, andai tersilap langkah, merana dan binasalah aku. Aku perempuan yang cuba menanamkan dalam dirinya rasa benci akan penyakit yang cintakan dunia. Aku perempuan yang cuba mencintai Allah sepenuhnya dan mahu rasa itu meresapi ke seluruh jiwa ini! Agar aku merasai nikmatnya tenggelam dan hanyut dalam cinta-Nya, sungguh mengasyikkan. Dan tidak aku mahu jatuh ke lembah cinta nafsu.

Aku juga mahu menjadi seorang wanita yang tetap teguh pendiriannya. Aku cuba untuk menjadi perempuan yang tidak mudah untuk patah semangat. Kerana aku sedar aku masih punya Dia. Kerana cukuplah Allah bagiku. Tiada dalam hatiku selain Allah.


Dikala perempuan lain berebut-rebut memaparkan gambar di Facebook, sungguh aku mengatakan, ITU BUKAN AKU!


Kerana aku perempuan yang masih punya maruah. Allah telah menganugerahkan kecantikan dan kelebihan tersendiri pada tiap-tiap insan bernama wanita. Tidak ada kekurangan dalam ciptaanNya melainkan bagi yang Dia kehendaki. Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah kurniakan buat kita. Dan hargailah nikmat yang diberikan, bukan dengan cara memaparkan gambar-gambar di facebook. Sesungguhnya kecantikan itu bukanlah untuk dijadikan bahan jajaan mata lelaki bernafsu. Tapi, khazanah yang perlu disimpan dan dijaga hingga waktunya tiba. Hanya buat yang bergelar suami. Dan aku tidak akan sesekali menghampakan dia. Dengan menyamakan haknya dengan mana-mana lelaki lain.

 Aku cuba berusaha memperbaiki dalam pemakaianku, agar dapat menutupi seluruh auratku daripada menjadi panahan mata lelaki. Biar orang sekeliling memandang serong, jangan biar Allah tidak memandang kita. Biar orang berkata, jangan biar Allah murka. Biar orang kata kita berpakaian tidak menepati peredaran, jangan biar Allah kata kita derhaka pada perintahNya. Aku bangga memperjuangkan pakaian sunnah. Aku bangga mengenakan busana yang menepati kehendak Allah. Tak pernah tergugat usahaku dalam mendamba reda-Nya. Moga Allah mempermudahkan jalanku.

Aku tidak ingin kelihatan cantik di mata ribuan lelaki. Aku langsung tidak ingin menjadi rebutan jejaka kacak atas mata yang hanya memandang kecantikan. Aku langsung tidak ingin sang pria menaruh hati dan harapan kepadaku kerana rupa. Aku tidak mahu menjadi fitnah bagi mereka. Aku tidak mahu mereka sibuk memikirkan aku melebihi Al-Khaliq Sang Pencipta. Kerana aku tidak tahu alasan apa yang harus kuutarakan saat Dia bertanya kelak.

Aku mahu menjadi perempuan yang sukar. Sukar didekati. Sukar dipermainkan hatinya. Sukar tunduk kepada kehendak nafsu. Sukar mengatakan ya kepada pergaulan yang tiada batasan syarak. Sukar untuk merasa tenang apabila melihat anak bangsa semakin rosak. Sukar membuang perasaan malu terhadap ajnabi. Aku mahu jadi perempuan yang sukar itu. Persis seperti sekuntum mawar bersudi, walaupun  ia cantik dipandang tetapi tidak bisa disentuh oleh sembarangan orang. Kerana wanita itu selayaknya bukan untuk disentuh sewenang-wenangnya. Dan aku mahu menjadi sepertimana pesanan Saidatina Aisyah ra : "Sebaik-baik wanita yang tidak memandang dan tidak dipandang".

Malah apabila aku menjadi punca dua jejaka bermasam muka dan bergaduh, aku terasa seolah begitu hina! Seolah aku barang yang bisa dibeli begitu sahaja. Aku punya maruah. Aku bukan barang jajaan yang mudah dilihat, disentuh, diusik, direbut sesuka hati! Kerana aku hanya khusus buat dia. Kerana aku sentiasa merasakan dia ada di sisi walaupun pada mata kasarnya dia tiada menemani. Hanya keyakinan aku sandarkan pada-Nya dalam sebuah penantian. Itu sahaja sudah cukup. Cukup buat aku bahagia dengan dia, khalifah yang ditakdirkan buatku kelak. Malah aku juga merasa malu membiarkan seorang lelaki ajnabi berjalan di belakangku, lantaran fitnah yang mungkin timbul. Hal itu, mengingatkan aku pada apa yang pernah dikatakan oleh Sayidina Umar ra : "Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita."


Dikala perempuan lain berebut-rebut mencari cinta manusia, sungguh aku mengatakan, ITU BUKAN AKU!


Kerana aku perempuan yang punya matlamat. Aku masih punya ibu bapa, keluarga , dan tanggungjawab aku untuk mereka masih belum terbalas. Aku punya agama yang mesti aku perjuangkan. Terlalu kecil khidmat dan perjuangan aku, jadi tidak selayaknya aku mencari cinta manusia. Cubalah kita lihat di luar sana! Seberapa ramai yang hidup dalam kesedihan?! Angkara kecewa dengan cinta manusia. Kerana manusia itu tidak dapat memberikan cinta yang tulus buat pasangannya, pasti ada kurangnya. Aku seorang wanita yang tamak, aku hanya inginkan cinta yang kekal abadi, tidak aku mahu cinta yang sementara ini. Aku merasa tidak cukip. Tamakkah aku? Tapi itulah selayaknya kita sebagai orang Islam, mengejar cinta Pencipta Adam dan Hawa, Allah SWT.


Dikala mereka berpelakuan seperti mereka mahukan neraka, sungguh aku mengatakan ITU BUKAN AKU!


Kerana aku perempuan yang mahukan syurga, dan aku akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkannya.
Seperti firman Allah :

"Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah kemenangan yang agung."
(An-Nisa', 4 : 13)

p/s : perempuan diatas itu umum, tidak merujuk kepada sesiapa. Hanya sekadar perkongsian hati dan renungan buat para wanita diluar sana.. Mungkin juga ada dikalangan pembaca blog ini dari golongan muslimin, sama-sama kita ambil pengajaran. InsyaAllah, wallahu a'laam..

Aku Cinta Ummi Kerana Allah!

Sunday, 15 April 2012

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
 بسم الله الرحمن الرحيم



Gambar Hiasan

Terlalu besar jasa dan pengorbanan seorang ibu kepada kita yang bergelar anak.
Tapi kalau kita lihat sekarang, anak-anak melayan ibu bapa tak ubah seperti seorang hamba. Mana nilai kasih sayang dalam diri kalian? Mana nilai islam dalam diri kalian? Mana kalian campakkan rasa cinta pada kedua orang tua kalian? Sedarkah kalian syurga itu dibawah telapak kaki seorang wanita yang bergelar ibu?



Terlalu banyak kisah yang dapat memberi pengajaran pada kita tentang kehebatan orang yang menjaga hubungan baik dengan ibu bapa, antaranya :


Kisah 1


Ini adalah kisah benar yang berlaku di dewan peperiksaan di salah sebuah sekolah. Kisah ini diceritakan oleh salah seorang guru wanita yang berada dalam dewan peperiksaan tersebut.

Ceritanya begini :

Terdapat salah seorang pelajar masuk ke dewan peperiksaan dalam keadaan keletihan dan tertekan. Dia duduk di tempat yang telah dikhaskan untuknya.
Kemudian dia menerima kertas ujian dan setelah berlalu masa ujian beberapa ketika guru
tersebut mendapatinya tidak menulis apa-apa pun pada kertas jawapannya sehingga berlalu separuh masa peperiksaan. Maka guru tersebut mula memberi perhatian yang lebih kepadanya.


Copy from FACEBOOK

Tiba-tiba pelajar tersebut mula menulis dan menjawab semua soalan dengan pantas dan ini mengejutkan guru yang memerhatikannya sejak tadi. Pelajar tersebut menjawab semua soalan peperiksaan dengan baik. Ini menambahkan lagi rasa ragu-ragu pada guru tersebut dan dia beranggapan pelajar tersebut telah menggunakan taktik baru dalam meniru. Tetapi guru tersebut tidak menjumpai apa-apa tanda yang pelajar itu telah meniru dalam peperiksaan.

Setelah pelajar itu menyerahkan kertas jawapannya, guru telah bertanya kepadanya apa yang berlaku sebenarnya. Dan jawapannya amat mengejutkan dan menyentuh perasaan. Tahukah anda apakah jawapan pelajar itu?

Pelajar tersebut menceritakan : “semalam saya berjaga sepanjang malam sehingga subuh. Saya dalam keadaan tidak sihat dan menjaga ibu saya yang sakit tanpa sempat untuk mengulangkaji untuk ujian keesokannya. Maka sepanjang malam saya menjaga ibu dan saya datang menghadiri peperiksaan dengan harapan aku dapat melakukan sesuatu dalam peperiksaan nanti.

Saya melihat soalan-soalan namun tidak dapat menjawabnya. Saya hanya berdoa kepada Allah dengan amalan terbaik yang saya lakukan iaitu berbakti kepada ibuku semata-mata kerana Allah.
Tidak lama selepas itu, Allah memakbulkan doa saya dan seolah-olah saya nampak buku di depan. Saya mula menulis dengan pantas. Itulah yang saya dapat dan amat bersyukur kepada Allah kerana menerima permohonan saya.

Kisah yang menakjubkan ini menjelaskan bahawa betapa besarnya ganjaran berbuat baik kepada ibu bapa dan merupakan amalan yang paling Allah sukai. Maka Allah membalasnya dengan memberi kebaikan kepadanya kerana berbakti kepada orang tua.


Kisah 2


“Mana Mak?’ Jam 6.30 petang. Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama. Ayah baru balik dari sawah. Ayah tanya Mak, “Along mana?’ Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.” Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?” Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.” Ayah tanya Mak, “Ateh mana?” Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?” Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?” Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.” Mak jawab soalan ayah penuh yakin.Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.


Dua puluh tahun kemudian Jam 6.30 petang Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari. Ayah tanya Along, “Mana Mak?” Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.” Ayah tanya Angah, “Mana Mak?” Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.” Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?” Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah. Ayah tanya Ateh lagi, “Mana Mak?” Ateh menjawab, “Entah.” Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah. Ayah tanya Alang, “Mana Mak?” Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu. Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu. Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak. Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, “Mana Mak?” Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!” Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.


Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya “Mana Mak?” apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu. Mereka akan tanya, “Mana Mak.” Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika. Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya ‘Mana Mak?” Semakin anak-anak Mak besar, soalan “Mana Mak?” semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .


Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut. Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan. Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya. Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.


Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi. Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham. Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, “Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni.” Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak.


Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak. Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur. Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi. Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan. Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu. Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.


Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak. Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, “Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat.” Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak. Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”


Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak. Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan. Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.


Beberapa tahun kemudian Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”. Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.” Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit. Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi. Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu. Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat. Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak. Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak.. Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.


Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah, ”Mana Along?” , “Mana Angah?”, “Mana Ateh?”, “Mana Alang?”, “Mana Kak Cik?” atau “Mana Adik?”. Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya. Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, “Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , “Mana mak?” “ Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, “Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal.” ”Ayah, ayah….bangun.” Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh.. Terketar-ketar ayah bersuara, “Mana Mak?” Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu.


Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan “Mana Mak?” masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.


:. Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah SAW, ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab? Oleh itu, aku menyeru kepada sesiapa yang masih mempunyai ibu bapa agar berbaktilah kepada mereka untuk mencari keredhaan Allah sebelum mereka pergi meninggalkan kita.

:.Semoga kita mendapat pengajaran daripada kedua-dua kisah tadi, InsyaAllah.

~Bahagiakan mereka sampai syurga Ya Allah~


Ya Allah kurniakan kesihatan buat hambaMu,
Ampunilah dosa-dosa hambaMu,
Terimalah ibadah hambaMu,,
Limpahkanlah rahmat keatas hambaMu,

Kasihkanlah hambaMu dengan KasihMu,
Kurniakan  rezeki buat hambaMu,
Kurniakan mereka anak yang soleh dan solehah,

Hiasilah bibir mereka dengan senyuman,
Basahkan dan ringankan lidah mereka bermunajat kepadaMu,

Bahagiakan mereka dunia akhirat.
Sesungguhnya mereka adalah kesayanganku.

 

Copyright by © 2010 Nurain An-Nashwa
Design by ♫ Princess Nabilah Blogspot ♫ You want to get one design too? Let's go my website Facebook Princess Nabilah