أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم
عليكم السلام
Perempuan..
Aku adalah seorang perempuan.
Perempuan yang hidupnya sentiasa berhadapan dengan arus dunia moden. Dunia yang penuh dengan tipu daya dan muslihat, andai tersilap langkah, merana dan binasalah aku. Aku perempuan yang cuba menanamkan dalam dirinya rasa benci akan penyakit yang cintakan dunia. Aku perempuan yang cuba mencintai Allah sepenuhnya dan mahu rasa itu meresapi ke seluruh jiwa ini! Agar aku merasai nikmatnya tenggelam dan hanyut dalam cinta-Nya, sungguh mengasyikkan. Dan tidak aku mahu jatuh ke lembah cinta nafsu.
Aku juga mahu menjadi seorang wanita yang tetap teguh pendiriannya. Aku cuba untuk menjadi perempuan yang tidak mudah untuk patah semangat. Kerana aku sedar aku masih punya Dia. Kerana cukuplah Allah bagiku. Tiada dalam hatiku selain Allah.
Dikala perempuan lain berebut-rebut memaparkan gambar di Facebook, sungguh aku mengatakan, ITU BUKAN AKU!
Kerana aku perempuan yang masih punya maruah. Allah telah menganugerahkan kecantikan dan kelebihan tersendiri pada tiap-tiap insan bernama wanita. Tidak ada kekurangan dalam ciptaanNya melainkan bagi yang Dia kehendaki. Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah kurniakan buat kita. Dan hargailah nikmat yang diberikan, bukan dengan cara memaparkan gambar-gambar di facebook. Sesungguhnya kecantikan itu bukanlah untuk dijadikan bahan jajaan mata lelaki bernafsu. Tapi, khazanah yang perlu disimpan dan dijaga hingga waktunya tiba. Hanya buat yang bergelar suami. Dan aku tidak akan sesekali menghampakan dia. Dengan menyamakan haknya dengan mana-mana lelaki lain.
Aku cuba berusaha memperbaiki dalam pemakaianku, agar dapat menutupi seluruh auratku daripada menjadi panahan mata lelaki. Biar orang sekeliling memandang serong, jangan biar Allah tidak memandang kita. Biar orang berkata, jangan biar Allah murka. Biar orang kata kita berpakaian tidak menepati peredaran, jangan biar Allah kata kita derhaka pada perintahNya. Aku bangga memperjuangkan pakaian sunnah. Aku bangga mengenakan busana yang menepati kehendak Allah. Tak pernah tergugat usahaku dalam mendamba reda-Nya. Moga Allah mempermudahkan jalanku.
Aku tidak ingin kelihatan cantik di mata ribuan lelaki. Aku langsung tidak ingin menjadi rebutan jejaka kacak atas mata yang hanya memandang kecantikan. Aku langsung tidak ingin sang pria menaruh hati dan harapan kepadaku kerana rupa. Aku tidak mahu menjadi fitnah bagi mereka. Aku tidak mahu mereka sibuk memikirkan aku melebihi Al-Khaliq Sang Pencipta. Kerana aku tidak tahu alasan apa yang harus kuutarakan saat Dia bertanya kelak.
Aku mahu menjadi perempuan yang sukar. Sukar didekati. Sukar dipermainkan hatinya. Sukar tunduk kepada kehendak nafsu. Sukar mengatakan ya kepada pergaulan yang tiada batasan syarak. Sukar untuk merasa tenang apabila melihat anak bangsa semakin rosak. Sukar membuang perasaan malu terhadap ajnabi. Aku mahu jadi perempuan yang sukar itu. Persis seperti sekuntum mawar bersudi, walaupun ia cantik dipandang tetapi tidak bisa disentuh oleh sembarangan orang. Kerana wanita itu selayaknya bukan untuk disentuh sewenang-wenangnya. Dan aku mahu menjadi sepertimana pesanan Saidatina Aisyah ra : "Sebaik-baik wanita yang tidak memandang dan tidak dipandang".
Malah apabila aku menjadi punca dua jejaka bermasam muka dan bergaduh, aku terasa seolah begitu hina! Seolah aku barang yang bisa dibeli begitu sahaja. Aku punya maruah. Aku bukan barang jajaan yang mudah dilihat, disentuh, diusik, direbut sesuka hati! Kerana aku hanya khusus buat dia. Kerana aku sentiasa merasakan dia ada di sisi walaupun pada mata kasarnya dia tiada menemani. Hanya keyakinan aku sandarkan pada-Nya dalam sebuah penantian. Itu sahaja sudah cukup. Cukup buat aku bahagia dengan dia, khalifah yang ditakdirkan buatku kelak. Malah aku juga merasa malu membiarkan seorang lelaki ajnabi berjalan di belakangku, lantaran fitnah yang mungkin timbul. Hal itu, mengingatkan aku pada apa yang pernah dikatakan oleh Sayidina Umar ra : "Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita."
Dikala perempuan lain berebut-rebut mencari cinta manusia, sungguh aku mengatakan, ITU BUKAN AKU!
Kerana aku perempuan yang punya matlamat. Aku masih punya ibu bapa, keluarga , dan tanggungjawab aku untuk mereka masih belum terbalas. Aku punya agama yang mesti aku perjuangkan. Terlalu kecil khidmat dan perjuangan aku, jadi tidak selayaknya aku mencari cinta manusia. Cubalah kita lihat di luar sana! Seberapa ramai yang hidup dalam kesedihan?! Angkara kecewa dengan cinta manusia. Kerana manusia itu tidak dapat memberikan cinta yang tulus buat pasangannya, pasti ada kurangnya. Aku seorang wanita yang tamak, aku hanya inginkan cinta yang kekal abadi, tidak aku mahu cinta yang sementara ini. Aku merasa tidak cukip. Tamakkah aku? Tapi itulah selayaknya kita sebagai orang Islam, mengejar cinta Pencipta Adam dan Hawa, Allah SWT.
Dikala mereka berpelakuan seperti mereka mahukan neraka, sungguh aku mengatakan ITU BUKAN AKU!
Kerana aku perempuan yang mahukan syurga, dan aku akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkannya.
Seperti firman Allah :
"Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah kemenangan yang agung."
(An-Nisa', 4 : 13)
p/s : perempuan diatas itu umum, tidak merujuk kepada sesiapa. Hanya sekadar perkongsian hati dan renungan buat para wanita diluar sana.. Mungkin juga ada dikalangan pembaca blog ini dari golongan muslimin, sama-sama kita ambil pengajaran. InsyaAllah, wallahu a'laam..
1 comments:
like3x ! :D
Post a Comment