¸.•❤•.Assalamualaikum•❤•.¸
Buat sahabat dan pembaca yang paling aku kasihi,
Nukilan ini datangnya ikhlas dari hati, maka baca dan hayatilah juga ia dengan hati. Percayakah andai dikatakan perubahan itu perlukan pengorbanan, dan apabila kita berusaha untuk berubah kepada kebaikan khususnya dalam mendalami agama kita sendiri, syaitan mula tidak diam duduk dan berusaha mencari akal untuk merosakkan hati kita. Andai tidak kita pelihara hati itu dari hasutan syaitan dan tenggelam dengan segala tipu helahnya pasti itu paling merugikan. Akhir-akhir ini, aku turut terasa seperti diuji dengan hati aku sendiri.
Adakah aku bersalah dalam menetapkan keputusanku sehingga membuatkan kalian terpaksa bersangka baik?
Bukan aku cuba mencari alasan untuk tidak turut serta, tapi itulah yang sebetulnya aku alami.
Bukan aku tidak ingin turut serta dengan kalian, bahkan hati ini berat untuk bersama-sama sahabat semua, tapi khidmatku disini harus aku utamakan. Tambahan dengan beberapa perkara lain yang perlu diselesaikan dalam tempoh waktu tersebut, menambahkan kesulitan buat aku untuk turut serta.
Dalam Surah Al-Israk ayat 23-24, Allah berfirman yang maksud-Nya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.
Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.
Ya!! Aku perlu bertanggungjawab terhadap itu semua, memang aku tidak dalam membayar dengan wang setiap titik susumu bonda, kasih sayangmu ayah, perhatian dan pengorbanan kalian berdua, kerana semua itu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Tapi selagi aku mampu aku akan berbakti kepada kalian. "Ya Allah, permudahkanlah aku dalam segala urusan dalam mencari RedhaMu, kerana sesungguhnya keredhaanMu untukku terletak pada keredhaan kedua ibu bapaku". Tanggungjawab berbuat baik kepada mereka boleh dikatakan lebih penting daripada berjihad pada satu-satu ketika. Keutamaan berkhidmat kepada orang tua itu melebihi pahala berjihad fisabilillah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud beliau berkata: "Saya bertanya kepada Nabi SAW. "Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah SWT? Baginda bersabda: "Solat pada waktunya, saya bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbuat baik kepada kedua orang tua. Saya bertanya: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjihad di jalan Allah." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kadang-kadang seulas senyuman dan kata-kata yang lembut itu lebih berharga daripada wang ringgit serta barangan berharga. Melainkanlah kalau ada ibu bapa yang tamakkan harta (macam dalam drama-drama Melayu). Apatah lagi kalau kita dapat mengurangkan beban mereka, pasti itu lebih menguntungkan bukan? Dan inilah yang aku sedang lakukan, meringankan beban mereka. Kedua ibu bapa aku sudah melebihi separuh abad, maka wajarlah bagi aku untuk membantu meringankan beban mereka. Setiap keluarga khususnya ibubapa kita pasti punya bebannya yang tersendiri, begitu juga kedua ibubapaku. Dan tidak aku nafikan, kalian juga punya ibubapa yang dipertanggungjawabkan keatas kalian, maka sudah pasti kalian mengerti apa yang aku alami bukan? Maka ayuhlah kita sama-sama berkhidmat dengan berbuat baik untuk mereka selagi kita punya peluang. Jangan kita menyesal dikemudian hari, kerana asyik mengejar yang lain sehingga kita terlepas untuk bersama dengan mereka. Bak kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Aku tidak mahu menjadi seperti itu, maka izinkanlah aku mengejar apa yang sudah ada dihadap mataku iaitu berkhidmat untuk mereka, bukan aku tidak ingin berpandangan jauh, menggapai awan dan menongkah arus bersama kalian, tapi aku takut aku bakal menjadi orang yang tamak dan akhirnya aku sendiri yang rugi.
Ya! Aku bukanlah orang yang bijak pandai menghurai dan berhujah mengenai hal agama, tapi itulah yang sering aku dengar tazkirah dari ustaz dan ustazah. Dan itulah yang terlahir dari hati aku.
Pernah juga aku diberitahu tentang hikmah kita berbakti kepada kedua Ibu Bapa :-
i. Berkhidmat kepada kedua ibu bapa adalah lebih utama daripada keluar berjihad pada jalan Allah.
ii. Memberi Khidmat kepada kedua ibu bapa pahalanya adalah menyamai pahala orang yang mengerjakan haji, umrah dan jihad.
iii. Berkhidmat kepada kedua ibu bapa akan meluaskan rezeki anak dan Allah akan melanjutkan usianya.
iv. Memandang kepada kedua ibu bapa dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang, pahalanya sama dengan orang yang mengerjakan haji.
v. Syurga yang kita impikan terletak dibawah telapak kaki ibu, dengan keredhoaan ibu barulah kita boleh menjejaki syurga Allah.
vi. Kegembiran dan kebahagian ibu bapa seiring dengan kegembiraan Allah, sedang kemarahan keduanya adalah seiring dengan kemurkaan Allah.
vii. Berkhidmat kepada kedua ibu bapa adalah amalan yang paling mulia sekali diantara ibadah-ibadah yang lain.
Sekali lagi maaf beribu maaf aku pohon dari insan-insan yang aku kasihi. Dan andai diri ini salah, betulkanlah aku kerana aku bukanlah manusia yang sukar untuk menerima teguran. Jangan biarkan kesalahan dan kekhilafan aku yang lalu membuatkan dirimu menjauhi aku dan meninggalkan aku dengan kesalahan yang telah aku lakukan tanpa aku sedari untuk memperbetulkannya. Sungguh aku rindu pada kalian, dan pastinya aku mencintai kalian kerana Allah.
0 comments:
Post a Comment